Seafood Selambak merupakan satu hidangan portion besar yang dah menjadi fenomena lagi-lagi di kalangan penggemar makanan laut. Bersama sambal yang pedas, lawankan pula dengan nasi panas memang terangkat habis! Keunikannya terletak pada cara ia dihidangkan. Tak kira di kedai makan mahupun gathering keluarga, biasanya ia akan dituang selambak ke atas hamparan plastik atau daun pisang. Masa masak tu, ada yang suka gaul sekali dengan sambalnya supaya ia bersalut rata. Tapi kalau nak tuang asing pun takde masalah.
Percaya tak bila makan kat luar, hidangan ini boleh mencecah harga yang mahal. Jadi apa kata kali ini anda buat sendiri? Boleh adjust banyak mana makanan laut yang korang nak letak! Makan ramai-ramai dengan keluarga memang sesuai sangat. Tak payah pening-pening, jom ikuti resepi Homemade Seafood Selambak di bawah!
Resepi Homemade Seafood Selambak
Bahan-bahan
- makanan laut (ketam, udang dan lala)
- 2 batang lobak merah (dipotong)
- 1 brokoli (dipotong)
- tomato ceri (pilihan)
- 1 biji lemon (pilihan)
- 2 tongkol jagung (dipotong 3)
Bahan-bahan (Kuah Seafood Selambak)
- 2 biji bawang merah
- 5 ulas bawang putih
- 1 inci halia
- 1 inci belacan
- 1 cwn air
- 5 tangkai cili padi
- 3 sb mentega
- 2 tangkai serai (diketuk)
- 2 tangkai daun kari
- 3 sb cili boh
- 3 sb serbuk kari ikan
- 2 sb sos tiram
- 2 sb sos cili
- 2 sb sos ikan
- 1/2 sk garam
- 1/2 sk lada hitam
- 1 sb serbuk stok ayam
Cara memasak
- Kisar halus bawang merah, bawang putih, halia, cili padi, dan belacan bersama sedikit air. Ketepikan.
- Rebus/celur sayur-sayuran seperti brokoli, lobak merah dan jagung sehingga empuk. Ketepikan.
- Dengan mengunakan air rebusan yang sama, rebus ketam, udang dan lala. Simpan 3 senduk air rebusan. Ketepikan.
- Cairkan mentega dan tumis serai yang telah diketuk, daun kari, bahan kisar dan cili boh sehingga pecah minyak.
- Masukkan rempah kari ikan, sos cili, sos tiram dan sos ikan. Gaul sebati.
- Tuangkan air rebusan dan perasakan dengan garam, lada hitam dan stok serbuk ayam secukup rasa.
- Masak sehingga reneh dan menggelegak.
- Susun sayur, tomato ceri dan seafood di atas dulang dan tuangkan kuah di atasnya.
- Perahkan lemon dan Homemade Seafood Selambak siap untuk dihidangkan bersama nasi panas.
SUBSCRIBE Youtube Untuk Lebih Banyak Video Resepi