Tak dinafikan ramai yang gemar makanan berkeju sehingga ada yang menikmatinya begitu sahaja. Mana taknya, rasa lemak dan berkrim keju tersebut sesuai untuk pelbagai jenis hidangan seperti Tart Mini Keju ni. Kalau beli di kedai, memang mahal dengan jumlah kejunya yang tak puas. Jadi, apa kata buat sendiri di rumah, sekurang-kurangnya boleh paipkan krim kejunya sebuncit yang boleh!
Satu adunan resipi ini mampu menghasilkan sehingga 30-40 biji tart keju bergantung pada saiz acuan, dan intinya juga boleh ditukar ikut perisa kesukaan. Tambahkan pula lorekkan corak bunga di atas keju buncit, memang lagi memikat hati dan selera! Selamat mencuba.
Resepi Tart Mini Keju Buncit
Bahan-bahan (Adunan Tart)
- 100 gm mentega
- 25 gm minyak sapi
- 50 gm gula aising
- 1 biji kuning telur
- 300 gm tepung gandum
- 1 sb esen vanila
- acuan tart
Bahan-bahan (Adunan Inti)
- 250 gm krim keju
- 60 gm gula aising
- 1 biji kuning telur
- 1 sb esen vanila
- jem strawberi (secukupnya)
Hiasan
- Pewarna makanan hijau
- Gum-paste sprinkel bunga
- Nutella
Cara memasak
- Pukulkan mentega, gula aising, kuning telur dan esen vanila untuk seketika.
- Ayakkan tepung gandum sedikit demi sedikit ke dalam adunan tadi dan gaulkan rata.
- Kemudian, uli sehingga adunan tidak melekat pada tangan.
- Oleskan acuan tart dengan sedikit minyak sapi, kemudian bentukkan adunan pada acuan tart.
- Bakar pada suhu 150°C selama 20 minit. Lalu, sejukkan seketika.
- Sementara itu, pukul krim keju, gula aising, kuning telur dan esen vanila sehingga kembang.
- Masukkan inti ke dalam piping bag. Paipkan sedikit jem strawberi ditengah-tengah tart kemudian paipkan pula inti krim keju.
- Bakar semula tart pada suhu 120°C selama 10 minit.
- Untuk hiasan, satukan beberapa titik pewarna hijau bersama sedikit krim keju kemudian letakkan sprinkel bunga diatas tart. Lukiskan batang bunga dan daunnya sekali. Hiasan juga boleh dibuat mengikut kreativiti masing-masing.
- Tart Mini Keju Buncit siap untuk dihidangkan.
Nota: Tips untuk mendapatkan hasil tart yang buncit cantik adalah daripada piping technique secara penuh dan penggunaan nozzle khas.
SUBSCRIBE Youtube Untuk Lebih Banyak Video Resepi